Kamis, 16 Juni 2011

Salman Al Farisi : Strategis Islam Yang Ulung

Kelahiran dan kehidupannya:
- Salman Al-Farisi r.a dilahirkan di sebuah kampung yang diberi nama (Jian) yang terletak di Asbahan. Manakala Asbahan pula merupakan sebuah bandar yang terletak di Republik Iran sekarang ini, di antara Tehran dan Syiraz.
- Salman r.a terus meninggalkan Parsi dan berhijrah mencari Rasulullah s.a.w sebaik sahaja beliau mengetahui kebangkitan baginda semata-mata untuk memeluk Islam.
- Diriwayatkan oleh Salman r.a, bahawa dia telah meriwayatkan kisahnya: Aku merupakan seorang pemuda Parsi tinggal di Asbahan di sebuah kampung yang dipanggil (Jian), ayah aku merupakan seorang ketua kampung dan dari kalangan orang yang paling kaya dan mendapat kedudukan yang tinggi. Semenjak aku dilahirkan aku merupakan orang yang paling suka terhadap apa yang diciptakan oleh Allah kepadanya, begitu juga dengan kasih sayangnya kepadaku berkekalan malah semakin bertambah beberapa hari sehingga aku dikurung di rumah sebagaimana dia mengurung anak perempuan kerana bimbang terhadap diriku. Aku seorang yang kuat berjuang mempertahankan agama majusi sehingga dari pagi lagi aku ke tempat penyembahan api yang kami sama-sama sembah, malah aku di amanahkan untuk menyalakan api tersebut agar ia tidak terpadam siam ataupun malam. Ayahku memiliki sebuah ladang yang besar dan mengeluarkan hasil yang sangat lumayan kerana ayahku sendiri yang menguruskan ladang tersebut dan merasai hasilnya.

Pada suatu hari, ayahku ingin pergi ke kampung Syaghil, lalu dia berkata kepadaku: Wahai anakku, sesungguhnya aku telah berusaha sebagaimana yang kamu lihat terhadap ladang itu. Maka pada hari ini pergilah kamu ke ladang itu untuk mengganti aku menguruskannya. Lalu aku pun keluar dengan niat menuju ke ladang tersebut. Di tengah-tengah jalan aku melalui salah sebuah gereja kristian, lalu aku mendengar suara mereka yang sedang sembahyang dari dalam gereja tersebut, aku pun menumpukan perhatianku terhadap ucapan mereka. Aku sebenarnya tidak tahu sedikitpun berkenaan dengan urusan agama Kristian atau urusan agama-agama lain oleh kerana halangan yang dilakukan oleh ayahku di rumah kami dari orang ramai. Setelah aku mendengar suara mereka, aku pun terus masuk ke dalam gereja mereka untuk mengetahui apakah yang dilakukan oleh mereka.

Apabila aku memerhatikan cara mereka sembahyang, aku merasa terpegun. Lalu aku merasa berminat kepada agama mereka dan aku berkata: Demi Allah sesungguhnya agama ini adalah lebih baik dari apa yang kami lakukan. Demi Allah aku tidak akan meninggal gereja ini sehinggalah matahari terbenam dan aku juga tidak akan pergi ke ladang ayahku. Kemudian aku menyoal mereka: Dari manakah agama ini berasal? Mereka menjawab: Dari negeri Syam.

Setelah malam baru aku pulang ke rumahku, tiba-tiba aku terserempak dengan ayahku dan dia bertanya apakah yang telah aku lakukan. Aku berkata: Wahai ayahku, sesungguhnya aku melalui kawasan sekumpulan manusia yang sedang sembahyang di dalam gereja mereka. Aku terasa kagum terhadap agama mereka. Oleh sebab itulah aku berada bersama mereka sehinggalah matahari terbenam. Lalu ayahku merasa bimbang terhadap apa yang aku lakukan itu dan dia berkata: Wahai anakku, itu bukanlah agama yang paling baik, sesungguhnya agama kamu dan agama ayah kamu itulah yang lebih baik.

Aku berkata: Tidak wahai ayahku, agama mereka lebih baik dari agama kita. Lantas ayahku mula terasa bimbang terhadap jawapanku itu dan dia juga bimbang aku akan berpaling dari agama majusi. Lalu dia mengurung aku di rumah secara mengikat kaki dan badanku.


Pemergian ke Negeri Syam:
Setelah suasana mengizinkan, aku terus menghantar utusan kepada Nasrani dan aku memberitahu kepada mereka: Apabila datang kenderaan yang ingin menuju ke negeri Syam maka beritahulah kepadaku. Setelah beberapa ketika datanglah kenderaan yang ingin menuju ke negeri Syam, lalu Nasrani tersebut memberitahu kepadaku. Aku terus cuba membuka ikatan yang mengikat badanku sehinggalah berjaya, aku pun terus keluar bersama rombongan tadi secara sembunyi sehinggalah sampai ke negeri Syam. Apabila kami tiba di sana, aku pun bertanya: Siapakah lelaki yang paling mulia bagi agama Nasrani ini?. Mereka berkata: Al-Asqaf penjaga gereja, lalu aku bertemu dengan lelaki tersebut dan berkata: Sesungguhnya aku tertarik dengan agama kamu dan suka untuk bersama kamu, berkhidmat untuk kamu, belajar dengan kamu dan sembahyang bersama kamu. Lelaki itu berkata: Masuklah. Aku pun masuk ke dalam gereja itu dan mula berkhidmat kepadanya. Kemudian setelah beberapa waktu aku bersamanya, aku dapat tahu bahawa dia seorang lelaki yang jahat. Dia memerintahkan pengikutnya supaya mengeluarkan sedekah dan menerangkan kelebihan sedekah. Lalu apabila dia diberikan sesuatu supaya dibelanjakan pada jalan Allah, dia menyimpan sedekah yang diberikan itu untuk dirinya dan tidak diberikan kepada fakir miskin sedikitpun sehingga dia dapat mengumpulkan sebanyak tujuh tempayan emas. Setelah aku melihat sifatnya yang sedemikian, aku mula timbul perasaan sangat marah. Kemudian setelah beberapa ketika lelaki tersebut mati dan pengikut-pengikut agama Nasrani berkumpul untuk menanam mayatnya, lalu aku berkata kepada mereka: Sesungguhnya tuan kamu ini seorang lelaki yang jahat. Dia menyuruh kamu agar mengeluarkan sedekah dan menerangkan kelebihan sedekah. Tetapi apabila kamu membawa sedekah kepadanya, dia menyimpan sedekah yang diberikan itu untuk dirinya dan tidak diberikan kepada fakir miskin walaupun sedikit. Mereka bertanya: Dari mana kamu tahu semua ini? Aku berkata: Aku akan tunjukkan tempat simpanan hartanya kepada kamu. Mereka menjawab: Tunjukkanlah. Lalu aku menunjukkan tempat harta itu dan mereka mengeluarkan dari tempat itu tujuh tempayan yang penuh dengan emas dan perak. Setelah mereka melihat harta itu, mereka berkata: Demi Allah kami tidak akan menanam mayat ini. Kemudian lelaki itu di salib dan direjam dengan batu. Setelah berlalu beberapa ketika tempat lelaki tersebut diganti dengan lelaki lain dan aku terus berada bersamanya. Setelah bersamanya, aku dapati dia seorang lelaki yang paling zuhud di dunia, paling mengejar akhirat dan suka melakukan ibadat siang dan malam. Aku terlalu suka kepada lelaki ini, oleh sebab itu aku dapat tinggal bersamanya dengan begitu lama. Setelah dia hampir mati, aku berkata kepadanya: Wahai Polan nasihatkan kepadaku siapakah yang boleh aku tinggal bersamanya selepas kamu ini? Lalu dia berkata: Wahai anakku, aku tidak mengetahui pada zaman kamu ini melainkan seorang lelaki sahaja yang berada di Al-Muassal yang bernama Si Polan. Dia tidak pernah menyeleweng dan tidak pernah menukar kebenaran, maka ikutlah dia. Setelah tuanku meninggal dunia, aku terus pergi ke Al-Muassal untuk mencari lelaki tersebut. Sebaik sahaja berjumpa dengannya, aku menceritakan kepadanya tentang keadaan diriku. Aku berkata kepadanya: Sesungguhnya lelaki tersebut telah memberi wasiat kepadaku semasa dia hampir mati supaya mencari kamu dan dia menceritakan bahawa kamulah satu-satunya orang yang berpegang teguh kepada kebenaran yang berada pada kamu. Lalu dia berkata: Tinggallah bersamaku. Lalu aku tinggal bersamanya dan aku dapati dia memang seorang yang sangat baik.

Setelah beberapa ketika sebelum beliau meninggal dunia aku berkata kepadanya: Wahai Polan telah datang perintah Allah kepada kamu sebagaimana yang kamu lihat dan kamu ketahui tentang keadaan aku, kamu mewasiatkan aku kepada siapakah dan siapakah yang kamu perintahkan supaya aku berjumpa dengannya? Lalu dia berkata: Wahai anakku, demi Allah aku tidak tahu adakah masih ada orang seperti kita ini selain seorang lelaki yang berada di Nasibaini iaitu Si Polan, kamu carilah dia. Setelah tuanku itu dikebumikan, aku berjumpa dengan lelaki yang dikatakan berada di Nasibaini dan aku menceritakan kepadanya tentang diriku dan pesanan yang disampaikan oleh taunku itu. Lalu dia berkata kepadaku: Kamu tinggalah di sini bersamaku. Aku pun terus tinggal bersamanya malah aku dapati kebaikan yang ada pada lelaki ini sama dengan lelaki yang sebelumnya. Demi Allah setelah beberapa ketika dan sebelum beliau meninggal dunia, aku berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu mengetahui keadaan diriku sebagaimana yang telah kamu ketahui, kepada siapakah pula kamumewasiatkan diriku. Dia berkata: Wahai anakku, demi Allah aku tidak dapati adakah masih ada seseorang yang hidup seperti kita ini selain seorang lelaki yang berada di Amuriah iaitu Si Polan. Lalu aku mencari lelaki itu dan menceritakan kisah diriku. Dia berkata: Kamu tinggallah bersamaku. Aku pun tinggal bersamanya dan demi Allah dia berada di atas petunjuk sebagaimana sahabatnya dahulu, malah semenjak aku bersamanya aku memperolehi beberapa ekor lembu dan kambing.


Rahib menasihati Salman supaya mengikuti Nabi:
Setelah beberapa ketika tibalah ketetapan Allah sebagaimana yang telah ditetapkan kepada sahabatnya yang dahulu, ketika hampir mati aku berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu mengetahui tentang diriku sebagaimana yang kamu ketahui, oleh itu wasiatkanlah kepadaku siapakah orangnya selepas kamu ini untuk aku temui dan apakah pesanan kamu? Lalu dia berkata: Demi Allah wahai anakku, setakat yang aku tahu sudah tidak ada seorangpun di atas muka bumi ini yang masih berpegang teguh kepada ajaran sebagaimana yang kita anuti ini. Tetapi suatu hari nanti akan lahir di Semenanjung Tanah Arab seorang nabi yang diutuskan dengan agama Ibrahim. Kemudian lelaki ini akan berhijrah meninggalkan tanah airnya menuju ke negeri yang banyak pokok tamar yang berada di antara dua kebebasan dan pada dirinya terdapat tanda-tanda yang jelas. Dia memakan pemberian hadiah dan tidak makan harta sedekah manakala di antara dua bahunya pula terdapat bukti kenabian. Sekiranya kamu mampu untuk mencarinya di negeri tersebut maka lakukanlah. Setelah temanku itu wafat aku berada di Amuriah beberapa ketika.


Kedatangan Salman ke Sememanjung Tanah Arab:
Pada suatu hari rombongan perniagaan Tanah Arab dari kabilah (Kalb) telah datang ke Amuriah. Aku terus berkata kepada mereka: Sekiranya aku dibawa bersama kamu ke tanah arab aku akan berikan kepada kamu lembu dan kambingku ini. Mereka menjawab: Kami setuju. Lalu aku memberikan kepada mereka sebagaimana yang aku janjikan dan mereka membawa aku bersama mereka. Sehingga apabila sampai ke sebuah wadi yang bernama Wadi Al-Qura mereka melakukan pengkhianatan terhadap diriku, mereka menjual aku kepada salah seorang Yahudi yang menyebabkan aku terpaksa berkhidmat untuknya. Kemudian setelah beberapa ketika tibalah sepupu Yahudi tersebut dari Bani Quraizah menziarahinya lalu dia membeli aku dari Yahudi tadi dan membawa aku bersamanya ke Yathrib. Setelah tiba di Yathrib aku melihat pokok-pokok tamar sebagaimana yang telah diceritakan oleh sahabatku di Amuriah dahulu dan aku dapat kenali Madinah sebagaimana yang disifatkan oleh beliau. Dengan itu aku berada di Yathrib dan tinggal bersama tuanku dari Bani Quraizah. Pada ketika ini Nabi s.a.w sedang menyeru kaumnya di Mekah, tetapi aku tidak mendengar berita mengenainya kerana disibukkan oleh kerja-kerja perhambaan yang diwajibkan ke atas diriku.


Pengislaman Salman Al-Farisi:
Kemudian apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yathrib, demi Allah ketika itu aku sedang menyusun daun tamar (membuat peneduh) bagi tuanku untuk melakukan kerja di dalamnya. Ketika tuanku berada di bawah peneduh tersebut tiba-tiba datang sepupunya dan berkata kepada tuanku: Semoga Allah memusnahkan Bani Qilah, demi Allah mereka sekarang sedang berkumpul di Quba' menyambut kedatangan seorang lelaki dari Mekah dan mendakwa dia sebagai seorang nabi.

Sebaik sahaja mendengar kata-kata tersebut, aku seolah-olah ditimpa demam. Keadaanku itu sangat mengejutkan tuanku sehingga hampir menjatuhkan dirinya dari tempat peneduh tersebut, lalu dia bergegas turun dari gerai tersebut kemudian aku bertanya lelaki tadi: Cuba kamu ulangi kata-kata kamu tadi, apa dia? Lalu aku dimarahi oleh tuanku dengan pertanyaan itu dan menumbuk diriku dengan kuat kemudian dia berkata kepadaku: Apa kena mengena dengan kamu ni? Teruskan kerja kamu itu.

Apabila waktu petang, aku mengambil beberapa biji tamar yang telah aku kumpulkan dan aku pergi ke tempat Rasulullah s.a.w dan aku berkata kepadanya: Sesungguhnya aku telah diberitahu bahawa kamu merupakan seorang lelaki yang soleh dan bersama kamu terdapat beberapa orang yang dagang dan memerlukan bantuan. Ini ada beberapa biji tamar untuk aku sedekahkan kerana aku melihat kamu lebih berhak daripada orang lain. Kemudian aku mendekatinya, lalu dia berkata kepada sahabatnya: Kamu semua makanlah, sedangkan Rasulullah sendiri masih menggenggam tamar tersebut di tangan baginda dan tidak makan. Aku terus terlintas di dalam hatiku: Telah jelas satu bukti.

Kemudian aku beredar seterusnya aku mengumpulkan lagi sejumlah tamar. Apabila baginda ingin berangkat dari Quba' ke Madinah aku datang bertemu dengannya dan aku berkata kepadanya: Aku melihat kamu tidak memakan sedekah dan ini merupakan hadiah sebagai penghormatan dariku. Lalu Rasulullah memakan sebahagian dari tamar itu dan menyuruh sahabatnya agar makan bersamanya. Lalu aku berkata di dalam diriku: Kini telah jelas dua bukti.

Kemudian aku berjumpa lagi Rasulullah, ketika itu baginda berada di Baqi' Al-Gharqad yang sedang mengebumikan mayat salah seorang sahabat baginda. Setelah aku melihat baginda sedang duduk dan di badan baginda terdapat sehelai kain serban, aku memberi salam kepada baginda dan berjalan di belakang baginda untuk melihat tanda yang telah disifatkan oleh tuanku di Amuriah suatu ketika dahulu. Setelah baginda melihat aku sedang memerhatikan belakang baginda, baginda terus mengetahui tujuanku, lalu baginda menarik kain serban dari belakang baginda dan aku terus dapat melihat tanda itu. Dari situ aku dapat ketahui bahawa aku memang telah bertemu dengan lelaki yang aku cari-cari selama ini, lalu aku membuka tanganku dan merendahkan diri serta mengucup Rasulullah s.a.w dan menangis. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Apa cerita kamu ni? Lalu aku menceritakan keseluruhan kisahku kepada baginda dan baginda merasa kagum terhadap apa yang aku alami selama ini, malah baginda terlalu suka jika aku dapat menceritakan ceritaku itu kepada para sahabat baginda, lalu aku ceritakan kepada mereka kisah diriku. Mereka juga melahirkan perasaan yang sungguh kagum dan hairan dan mereka merasa begitu bahagia.

Setelah itu Salman memeluk Islam kemudian dia dibebaskan dari belenggu perhambaan sehinggalah beliau menjadi salah seorang sahabat yang terkemuka dan memegang teraju pemerintahan pada zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rashidin di beberapa buah negeri.


Keistimewaan Salman Al-Farisi:
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w meletakkan tangannya di atas Salman dan berkata: "Sekiranya iman itu sekumpulan bintang-bintang nescaya dapat dicapai oleh lelaki dari kalangan mereka ini" lalu menunjukkan kepada Salman Al-Farisi r.a.

0 comment:

Posting Komentar